PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih bertimbang rasa kepada rakyat dengan memperluaskan Program Rebat Bil Elektrik.
Menurutnya, langkah itu dapat mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Dapatlah sekiranya pihak TNB dan kerajaan memperluaskan Program Rebat Bil Elektrik RM40. Setahu saya program itu secara bersasar bagi membantu ketua isi rumah yang berstatus miskin tegar sahaja.
“Kita tahu elektrik digunakan seluruh rakyat. Maka rebat perlu diperluaskan kepada semua. Rebat RM40 juga harus dinaikkan sedikit, mungkin RM100, memandangkan ada isi rumah memiliki tunggakan sehingga ribuan ringgit.
“Lagipun, Covid dan PKP sudah setahun lebih. Ramai hilang kerja dan tiada pendapatan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, rakyat tiada pilihan lain dan terpaksa duduk di rumah sepanjang PKP yang menyebabkan penggunaan elektrik naik dengan mendadak.
“Perkara ini menjadi sebab mengapa bil elektrik melambung tinggi dan meroket hingga ke bulan. Baru-baru ini saya berkesempatan bertanyakan pada seorang kakitangan TNB.
“Sepanjang PKP dilaksanakan, kebanyakan rakyat di negara ini berada di rumah dan menggunakan pelbagai alatan elektrik.
“Kerana penggunaan yang banyak, bilnya juga meningkat. Perkara ini saya faham. Tetapi PKP dilaksanakan oleh kerajaan,” catatnya. – Malaysiapost

