Ada baik, buruk batal cuti penggal persekolahan – Ahmad Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

CADANGAN supaya cuti penggal persekolahan bagi tahun ini dimansuhkan, mempunyai kesan negatif dan juga positif. 

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan oleh Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MIMBAR) mengenai pemansuhan cuti itu dari sudut positif membolehkan pelajar dan murid yang tercicir dalam pelajaran sebelum ini mengejar kembali pembelajaran. 

Menurutnya, ada dalam kalangan ibu bapa menyatakan pemansuhan itu perlu berikutan anak mereka terlalu lama berada di rumah ekoran penutupan sekolah.

“Di sudut positif, saya bersetuju dengan cadangan ini dan ia memerlukan tindakan berkesan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Bagaimanapun di satu sudut lain, kita juga perlu memikirkan mengenai guru,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini. 

Beliau berkata, walaupun sekolah tidak dibuka sebelum ini, tugas hakiki guru tetap diteruskan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan jika cuti penggal dimansuhkan guru pasti kepenatan.

“Jika pemansuhan ini dilaksanakan, pengajaran guru boleh dibuat secara berjadual dengan mereka diberikan elaun khas atas kerja lebih masa,” katanya. 

Sementara itu, beliau turut bersetuju dengan cadangan MIMBAR supaya pusat sehenti pemeriksaan kesihatan diwujudkan di sekolah bagi membendung penularan wabak Covid-19. 

Menurutnya, sekolah kini kembali beroperasi dengan kehadiran ramai murid dan keadaan membabitkan perhimpunan ramai itu boleh membuatkan virus merebak dengan cepat.

“Golongan ibu bapa yang bekerja dalam sektor kesihatan tetapi tidak terlibat secara langsung sebagai barisan hadapan di hospital, mungkin boleh membantu.

“Ia memerlukan perbincangan bersama PIBG dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

“Jika ia diwujudkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga boleh membantu dengan menempatkan seorang atau dua orang jururawat di sekolah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here