SEKURANG-kurangnya 20 rumah musnah dijilat api dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, api dikatakan mula marak memusnahkan beberapa rumah sebelum merebak hampir ke seluruh perkampungan atas air berkenaan.
Difahamkan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menggunakan bot bagi membawa peralatan memadam api ke lokasi kejadian.
Menurut laporan Harian Metro yang memetik sumber berkata, puluhan penduduk dilihat menaiki bot secara beramai-ramai bagi menyelamatkan diri dan harta benda.
Sumber berkenaan berkata, ada mangsa yang terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
“Penduduk yang berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki bot dikatakan bergerak ke kawasan selamat di pulau berkenaan.
“Kebakaran turut mengakibatkan beberapa bunyi letupan turut kedengaran,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa. – Malaysiapost

