PRU15: Jentera penerangan parti komponen PN kongsi maklumat

0
1
Malay Mail

PARTI komponen dalam Perikatan Nasional (PN), bersetuju berkongsi maklumat dalam usaha memantapkan jentera penerangan sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kerjasama erat antara jentera penerangan parti-parti komponen dalam PN itu, diyakini boleh menjadikan ia lebih dekat dengan rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, persetujuan perkongsian maklumat itu adalah hasil pertemuannya dengan Ketua Penerangan PAS, Tuan Kamaruzaman Mohamed; Naib Presiden merangkap Ketua Publisiti Gerakan, Koo Shiaw Lee, serta Dr Afif Bahardin mewakili Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

“Kami bersetuju bahawa kerjasama dan saling membantu antara pasukan penerangan parti-parti komponen PN akan diperkemas.

“Kami berkongsi maklumat mengenai prasarana penerangan yang ada dalam parti masing-masing, dan rancangan kita untuk bergerak ke hadapan. 

“Kami juga setuju untuk sediakan kerangka perkongsian maklumat dan sumber, serta usaha pemantapan jentera penerangan parti-parti komponen PN sebagai persediaan untuk PRU15,” katanya. 

Menurutnya, dengan kerjasama erat antara jentera penerangan parti-parti komponen dalam PN, pihaknya yakin PN boleh menjadi lebih dekat dengan rakyat.

“Banyak perkara baik yang PN telah lakukan. Kita telah buktikan bahawa kita sebuah kerajaan yang cekap dan prihatin mengenai kebajikan rakyat. 

“Dan kita terus tegas dalam mempertahankan prinsip integriti, anti-rasuah, dan kedaulatan undang-undang,” katanya. 

Beliau turut berharap dengan kerjasama itu maklumat yang tepat mengenai PN akan dapat disebarkan dengan lebih luas dan tersusun. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here