MHL: TNB sasar bolot semua piala musim ini

0
1

NAIB juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menetapkan sasaran tinggi untuk memenangi ketiga-tiga piala yang dipertandingkan musim ini, termasuk Piala TNB.

“Tanpa penyertaan pemain import untuk liga kali ini, tiada kurangnya pasukan TNB berbanding pasukan pilihan yang bertanding musim ini,” kata Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol.

Bercakap ketika majlis penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di ibu pejabat TNB di ibu negara, Ariff berkata pasukan itu meletakkan sasaran tinggi kerana kombinasi disiplin, semangat, jati diri dan kekentalan jiwa pemain yang memberi kelebihan berbanding pasukan pencabar lain.

“Seperti nama TNB yang semakin gah di peringkat antarabangsa, kita bukan jaguh kampung. Pasukan hoki kita pun perlu untuk berdiri pada tahap yang sama. 

“Bagi pasukan Thunderbolts, walaupun lahir daripada program pembangunan hoki, saya harap mereka akan memberikan saingan yang mantap,” katanya lagi.

TNB akan membuka tirai kejohanan bertemu juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pertemuan Piala Sumbangsih pada 12 Mac 2021 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pasukan TNB Thunderbolts pula akan bertemu Maybank dalam perlawanan pembukaan mereka pada 11 Mac 2021.

Ketua Jurulatih pasukan TNB, Nor Azlan Bakar berkata ketiadaan pemain import untuk kejohanan tahun ini bakal menjadikan persaingan merebut kejuaraan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB lebih terbuka.

“Bagi pasukan TNB, kami sememangnya menggunakan pemain tempatan untuk penyertaan selama ini namun ketiadaan pemain import memberi dimensi berbeza untuk pasukan yang bersaing dalam liga musim ini,” kata bekas pemain pertahanan negara itu.

Kali terakhir TNB merangkul kejuaraan liga adalah pada tahun 2010.

Tahun lalu TNB menjadi naib juara liga di belakang UniKL dan bersaing di peringkat separuh akhir Piala TNB.

Selain TNB, tujuh pasukan lain bersaing dalam kategori lelaki MHL tahun ini iaitu juara bertahan UniKL, Terengganu Hockey Team (THT), Nurinsafi HT, Universiti Teknologi Mara (UiTM); Maybank; TNB Thunderbolt dan Sabah.

Enam pasukan akan bertanding dalam kategori wanita iaitu PKS Uniten–KPT, PDRM Blue Warriors, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan Sabah selain dua pasukan baharu, Young Tigress dan UniKL Ladies.

MHL tahun ini mengalami perubahan menerusi format pertandingan liga satu pusingan dengan pasukan di tangga teratas akan muncul selaku juara.

Empat pasukan pada kedudukan teratas liga pula akan meneruskan pemburuan Piala TNB bagi kategori lelaki dan Piala Vivian May Soars bagi kategori wanita dengan aksi separuh akhir dijalankan secara timbal balik bagi menentukan tempat ke final. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here