KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai terdapat jangkitan Covid-19 di kalangan staf yang telah divaksin.
Maklumat terbabit yang kononnya pesanan dikeluarkan pihak Taskforce Program Imunisasi Covid-19 Fasa 1, adalah palsu dan kini tular di media sosial.
Antara kandungan pesanan yang disebarkan adalah mendakwa terdapat tiga kes Covid dikesan di kalangan staf yang telah divaksin dos pertama.
Maklumat palsu disebarkan itu turut mendakwa semua staf yang sudah divaksin masih berisiko dijangkiti Covid-19.
KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan maklumat itu tidak benar dan bukanlah daripada KKM.
“Tular berita mengenai maklumat yang didakwa dihantar oleh pihak KKM.
“Maklumat ini tidak benar dan bukanlah daripada KKM,” katanya.
KKM turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkannya. -Malaysiapost

