Kerajaan diminta sedia pakej rangsangan untuk media

0
1

MALAYSIAN Press Institute (MPI) memohon kerajaan menyediakan pakej rangsangan bagi membantu organisasi media yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata pakej itu penting kerana jika tidak dibantu lebih ramai lagi pengamal media akan kehilangan kerja, malah ada entiti media terpaksa menghentikan operasinya. 

Menurutnya, MPI turut mencadangkan pakej rangsangan itu boleh berbentuk pengurangan cukai korporat, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap produk media dan pembelian ruang iklan secara agresif oleh kerajaan untuk menyebarkan mesej kepada khalayak menerusi media. 

“Pakej rangsangan ini penting untuk memastikan media di negara ini kekal sihat dari segi ekonomi dan kewangan bagi membolehkan mereka memainkan peranan sebagai penyedia maklumat sahih dalam memerangi berita-berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, MPI turut mengalu-alukan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) ingin menubuhkan yayasan bertujuan menjaga kebajikan warga media terutama yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19. 

“Penubuhan yayasan ini perlu disegerakan kerana menurut Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), sejak dua hingga tiga tahun lalu, seramai 3,000 pengamal media hilang pekerjaan akibat gangguan digital dan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan memberi peruntukan secukupnya bagi memastikan yayasan itu berfungsi dengan lebih berkesan. 

Selain itu, menurutnya MPI menyokong cadangan Kelab Akhbar Kebangsaan supaya pengamal media diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 kerana terdedah kepada risiko jangkitan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here