KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunan (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan kawalan harga terhadap daging tempatan sekiranya berlaku kenaikan melampau.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata sejak kebelakangan ini harga daging didakwa meningkat susulan kenaikan harga makanan ternakan.
“Sumber bekalan daging bukan di bawah bidang kuasa KPDNHEP tetapi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI).
“KPDNHEP hanya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya siasatan terbukti berlaku trend kenaikan dan kegiatan mencatut barang,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan MAFI mengenai kesahihan berlaku kenaikan harga makanan ternakan yang sekali gus memberi kesan kepada harga pasaran daging.
Justeru, Rosol berkata, peniaga diingatkan tidak menaikkan harga daging sesuka hati, sekiranya dikesan melakukan pencatutan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Malah, kita akan siasat sama ada benar dakwaan berlaku kenaikan harga makanan ternakan ini dan tindakan lanjut akan diambil untuk mengawal kenaikan harga dengan mengenakan kawalan harga daging,” katanya.
Dalam pada itu, Rosol berkata, daging adalah antara item yang tersenarai sebagai barang harga terkawal terutama ketika musim perayaan apabila Skim Harga Maksimim Musim Perayaan (SHMMP) dilaksanakan.
“Ia bertujuan untuk mengawal kestabilan harga daging yang mendapat permintaan tinggi setiap kali musim perayaan.
“Justeru, KPDNHEP memohon kerjasama orang ramai untuk membuat laporan sekiranya mengesan kenaikan melampau harga daging dengan membuat laporan kepada kementerian.
“Aduan boleh dibuat dengan bukti dan keterangan lengkap mengenai lokasi premis berserta gambar atau bukti pembelian supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan harga daging tempatan dijangka naik sehingga RM45 sekilogram menjelang sambutan Aidilfitri.
Golongan penternak mendakwa kenaikan harga dedak ternakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu antara punca kenaikan berlaku.
Mereka mendakwa, jika sebelum ini seguni dedak boleh diperoleh pada harga RM54, namun kini harganya sudah mencapai RM58.
Difahamkan ketika ini harga daging tempatan mencecah RM40 sekilogram, dan penternak tidak menolak kemungkinan akan mencapai RM45 sekilogram menjelang sambutan Aidilfitri. -Malaysiapost

