Tak sertai PN bukan bermakna ketepi agenda Melayu

0
1

TIDAK menyertai Perikatan Nasional (PN) bukan bermakna Umno mengenepikan kepentingan Melayu, sebaliknya parti itu ada perhitungan politiknya tersendiri.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebelakangan ini terlalu banyak gesaan untuk Umno memikirkan semula pendirian untuk tidak mendukung PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegasnya, pelbagai alasan digunakan terutama sekali retorik perpaduan ummah bahawa seolah-olah Umno mengabaikannya.

“Umno tidak pernah mengabai kepentingan ummah barang seketika pun. Umno yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara.

“Umno yang menerima kembali Semangat 46 demi perpaduan Melayu dan Umno jugalah mengajak PAS untuk bersama menubuhkan Muafakat Nasional (MN),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata Umno bukan parti dengan ‘herd mentality’ (mentaliti kawanan), sebaliknya ia parti dengan pendirian bahawa survival Umno lebih utama berbanding survival PN.

“Nampaknya ramai orang lupa pendirian Umno ini berakar dari pendirian penyokong akar umbinya.

“Umno parti orang kebanyakan. Kami bukan parti yang terbentuk dengan percaturan golongan elit yang khianat pada mandat rakyatnya.

“Kerana mendengar hasrat akar umbilah Umno memutuskan sedemikian bahawa ia akan bertanding sebagai Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mohamed Khaled berkata, apa yang lebih penting bagi Umno, masa depannya ditentukan rakyat, bukan kerjasama dengan PN kerana rakyatlah yang akan menentukan jika Umno akan mara atau ditumpaskan.

Sehubungan itu, katanya lagi, kepada rakyatlah Umno mesti memberi segala tumpuan waktu ini, bukan rundingan berterusan peringkat atasan yang tidak akan mempengaruhi pemikiran rakyat.

“Akhirnya saya menyeru kepada seluruh penyokong Umno, kita mesti segera bekerja dengan rakyat untuk rakyat bagi memenangkan Umno pada PRU akan datang.

“Jangan buang masa dengan polemik politik di peringkat atasan. Kerana masa depan Umno adalah pada undi mereka yang biasa-biasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here