MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sepatutnya menerima kritikan dan kebimbangan pelbagai pihak berhubung isu pemberian vaksin yang disifatkan tidak menepati sasaran.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata demikian bagi menjawab semula kenyataan Khairy berhubung isu itu dalam ruangan komen di Facebooknya, berkata sememangnya kadar vaksinasi negara perlu dipercepatkan.
Katanya, seperti Khairy, beliau juga meletak harapan untuk melihat Malaysia mencapai imuniti kelompok dan bebas Covid secepat mungkin dengan kejayaan Pelan Imunisasi negara.
“KJ sangkal posting saya semalam bahawa kadar pemberian vaksin negara patut dipercepatkan dengan memberi perbandingan di mana kadar pemberian vaksin Malaysia (12,797 dos sehari) adalah lebih tinggi berbanding Singapura (9,906 sehari).
“Namun, realitinya ialah jumlah penduduk Malaysia adalah hampir 7 kali ganda saiz Singapura dan mereka telah memulakan pelan vaksinasi mereka lebih awal berbanding Malaysia.
“Sebab itu, 6.6% penduduk Singapura telah menerima dos pertama dan 3.8% penduduk menerima dos kedua manakala hanya 0.5% penduduk Malaysia terima dos pertama dan tiada seorang yang menerima dos kedua,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata, bagi negara-negara lebih besar seperti Indonesia telah memberi 4,534,798 dos bersamaan dengan 1.3% penduduk terima dos pertama dan 0.4% terima dos pertama.
“Pada ketika ini, kadar pemberian Indonesia (228,433 dos sehari) pula lebih tinggi berbanding Malaysia (12,797 dos). Negara UK dan negara Amerika Syarikat pula telah mencapai 33.8% dan 28.22%,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Khairy juga menafikan kerajaan melakukan pusingan U dalam pembabitan klinik serta hospital swasta bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Sebaliknya (KJ) berkata, perkara itu sudah dirancang dan dinyatakan dalam buku panduan pelalian, manakala kerajaan juga tidak pernah menghalang sekiranya ada pihak swasta mahu mendapatkan bekalan vaksin daripada mana-mana pengeluar,” katanya.
Najib berkata, sebenarnya perkara itu tidak ditulis dengan jelas dalam buku panduan tersebut.
“Sebab itu, ramai persatuan kesihatan dan pakar perubatan telah mengeluarkan pelbagai kenyataan sejak vaksinasi bermula untuk menyeru kerajaan melibatkan pihak swasta dalam pelan vaksinasi negara.
“Ini termasuk kenyataan dari Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) semalam yang sekali lagi suruh kerajaan membenarkan pihak swasta untuk mendapat bekalan vaksin.
“Jika bukan U-turn, takde lah persatuan itu menyambut baik langkah diumum kerajaan dua hari lalu untuk melibatkan pihak swasta,” katanya.
Najib berkata, jika pihak swasta sememangnya dibenarkan untuk membeli vaksin, mengapa Khairy mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan perlu memonopoli segala pembelian vaksin sehingga mencapai tahap 80% penduduk divaksinasi.
Justeru, Najib berkata, disebabkan itu kerajaan perlu mengumumkan secara jelas bahawa klinik-klinik swasta seluruh negara dibenarkan untuk memberi vaksin.
“… dan pihak swasta dibenarkan untuk membeli vaksin sendiri selagi jenama vaksin tersebut diluluskan kerajaan agar kekeliruan tidak berpanjangan dan persatuan-persatuan serta pakar kesihatan tidak lagi mengeluarkan kenyataan demi kenyataan untuk seru kerajaan melibatkan pihak swasta lagi,” katanya.
Najib berkata, Khairy menjelaskan kerajaan tetap dengan sasaran untuk mencapai kadar 160,000 dos sehari apabila Fasa kedua pelan vaksinasi dimulakan.
“Sebelum semalam, KJ kata sasaran ini ialah 150,000 dos tetapi mungkin sasaran telah dinaikkan ke 160,000 dos.
“Namun bila kita buat matematik mudah, negara hanya akan mencapai tahap 80% penduduk diberi vaksin dalam tempoh masa setahun lagi Jika kadar 160,000 dos sehari ini tercapai.
“Adakah Malaysia patut tunggu sehingga bulan Mac tahun 2022 untuk mencapai imuniti kelompok supaya sekatan rentas negeri boleh ditarik balik seperti diumumkan KP Kesihatan hari itu?,” katanya.
Terdahulu, Khairy menyangkal kenyataan Facebook yang dimuat naik Najib berhubung pemberian vaksin yang didakwa tidak menepati sasaran.
Khairy tampil menjawab kenyataaan itu di ruangan komen Facebook Najib berkata, perbandingan dengan Singapura, seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu, tidak adil kerana tidak mengambil kira jumlah hari program vaksinasi berlaku. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/isu-vaksin-kj-bidas-najib-dalam-ruangan-komen-facebook/

