Tular lebih banyak tuduhan, Zahid buat laporan polis

0
1

SATU laporan polis dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penularan mesej yang mendakwa kononnya akan ada lebih banyak tuduhan jenayah dikenakan terhadap dirinya.

Peguamnya, Datuk Hisyam Teh Pooh Teik memaklumkan perkara itu ketika prosiding pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi hari ini.

“Kami ingin tarik perhatian Yang Arif dengan mesej yang tular baru-baru ini, keputusan yang kononnya dibuat parti Bersatu.

“Kami mempertikaikan kandungan nombor enam dalam mesej yang mendakwa lebih banyak tuduhan yang akan dikemukakan terhadap anak guam kami.

“Pembelaan juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini dan mahu pihak berkuasa menyiasat tentang kebenaran dakwaan berkenaan.

“Kedua-dua pihak tertuduh dan pembelaan mempunyai keyakinan penuh terhadap Yang Arif,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Antara kandungan mesej yang tersebar itu ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Ketua-ketua bahagian Bersatu bersiap sedia dengan Pilihan Raya Umum (PRU) antara Jun dan Julai tahun ini.

Mesej yang tersebar itu turut mendakwa, akan ada pertuduhan lebih keras terhadap pimpinan kanan Umno, dan akan digunakan sebagai ‘rundingan’ untuk melembutkan parti itu.

Selain itu, pasukan khas akan ditubuhkan untuk memujuk Umno agar terus bersama Bersatu dan Perikatan Nasional menjelang PRU akan datang.

Bagaimanapun, Bersatu menafikan penyebaran maklumat yang dikatakan initipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, bertarikh 4 Mac 2021 melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran itu adalah tidak benar dan palsu.

Beliau berkata, maklumat yang disebarkan itu tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT Bersatu yang telah berlangsung.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here