Hubungan Arab Saudi: Hishammuddin tak perlukan nasihat dari Mat Sabu

0
1

PEMUDA Umno mengingatkan Mohamad Sabu supaya tidak campur tangan dalam usaha kerajaan memulihkan kembali hubungan Kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia menerusi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu.

Ketuanya, Datuk Dr Arsyraf Wajdi Dusuki, berkata Ahli Parlimen Kota Raja itu juga tidak perlu menasihati Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung perkara terbabit.

Katanya, Mohamad Sabu adalah bekas Menteri yang bertanggungjawab mengguris perasaan Kerajaan Arab Saudi susulan pengumuman penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) sejurus menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Lebih menduka-citakan tiada sebarang surat rasmi diutuskan sebelum pengumuman dilakukan hinggakan pihak Kerajaan Arab Saudi hanya maklum mengenainya melalui laporan Media.

“Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Penasihat Kanan Raja Arab Saudi Raja Salman iaitu Sheikh Abdul Kareem Al-Issa yang juga Pengerusi Bersama KSCIP kepada saya ketika mengunjungi beliau di Makkah pada 2018,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu mendukacitakan kerana Raja Salman sendiri datang ke Malaysia untuk mengumumkan mengenai penubuhan KSCIP dengan peruntukan besar lebih RM650 juta.

“… yang saya terlibat mewakili Malaysia sebagai Pengerusi Bersama dan beberapa kali ke Riyadh untuk berunding mengenainya.

“Kesannya sepanjang 22 bulan hubungan antara Kerajaan PH dengan Kerajaan Arab Saudi agak dingin hingga memberi kesan kepada keistimewaan mendapatkan kuota tambahan Hajj sebagaimana lazimnya diperolehi waktu zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu, Mat Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi membantu Arab Saudi dalam perang yang berlangsung di Yaman.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dalam usaha beliau (Muhyiddin) melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di Yaman.

“Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan semata-mata kepentingan politik,” kata kenyataan tersebut. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here