SEBANYAK 114 kerusi akan berada dalam genggaman Umno, PAS dan Bersatu jika tiga parti Melayu dan Bumiputera itu bersepakat dan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Congakan itu dibuat bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang berkongsi mengenainya di Facebook beliau hari ini.
Annuar berkata, setelah ditolak 31 kerusi Parlimen di Sarawak, terdapat 191 kerusi di Sabah dan Semenanjung dengan 39 daripadanya ditentukan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina yang menjadi kubu kuat DAP.
“Sebanyak 152 kerusi lain adalah medan yang mampu menjadi teras politik perpaduan Melayu / Bumiputera menerusi Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
“Dari 152 kerusi tersebut, terdapat 66 kerusi yang mudah dimenangi Umno/BN, 24 kerusi menerusi PAS dan 24 kerusi menerusi Bersatu jika ketiga-tiga parti Melayu/Bumiputera bersepakat di bawah payung PN-BN,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, berdasarkan prestasi semasa parti-parti Pro PN di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi sekurang-kurangnya 25 daripada 31 kerusi.
“Bererti 114 kerusi dalam genggaman dan jika dicampur 25 dari GPS, 139 kerusi minima mampu dicapai menerusi “muafakat” BN-PN, GRS, GPS yang sedia wujud mendokong kerajaan sekarang.
“Ini belum mengambil kira 38/152 lagi kerusi yang mampu ditawan permuafakatan ini yg memungkinkan terbentuknya kerajaan yang kuat dengan majoriti 2/3 di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, “muafakat” itu paling digeruni Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP kerana ia refleksi kerjasama dan persefahaman politik pelbagai kaum dan etnik berteraskan toleransi dan kesederhanaan.
“Muafakat ini bakal mewujudkan kestabilan politik pasca pendemik Covid-19 bagi negara menumpukan pentadbiran ke arah pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan yang bakal dinikmati bersama.
“Muafakat” ini yang harus kita usahakan bersama mulai sekarang, demi Malaysia kembali cemerlang dan terbilang. Muafakat berteraskan perpaduan Melayu dan Bumiputera bersama rakyat berbilang bangsa,” katanya.
Annuar turut memaklumkan hantaran ringkas tersebut akan beliau perincikan dalam sebuah buku berjudul ‘The Grand Design’. – Malaysiapost

