Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan

0
2

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas satu tuduhan pindaan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. 
“Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya.
“Terima kasih. Tidak mengaku,” kata Ahmad Zahid
Permohonan pindaan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong membabitkan penambahan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300 kepada 35 keping cek berjumlah RM7,511,250 pada pertuduhan ke-27.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan seorang saksi yang juga pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.
Cek itu kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac dan 15 Julai 2016.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama serta memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, rasuah (8), dan pengubahan wang haram  (27). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here