IBU bapa atau penjaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan kelonggaran merentas negeri yang diberikan untuk menghantar anak ke asrama atau pusat pengajian dengan melakukan aktiviti pelancongan dan sebagainya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ibu bapa perlu bersikap bertanggungjawab dan jujur apabila kerajaan membenarkan mereka melakukan perjalanan merentas negeri untuk hantar anak tanpa perlu surat kebenaran polis.
“Kita bersetuju membenarkan ibu bapa melakukan perjalanan merentas negeri untuk menghantar anak ke asrama tanpa perlu memohon kebenaran surat polis, sebaliknya cukup sekadar surat kemasukan tempat belajar.
“Bagi mereka yang tinggal jauh mungkin tidak sempat untuk pulang hari sama juga dibenarkan bermalam bagi menyelesaikan urusan kemasukan anak-anak.
“Tapi kalau perjalanan mereka dalam surat anak masuk asrama sebagai contoh 10 haribulan, tentu paling lewat mereka kena balik 11 atau 12 haribulan. (Namun jika) selepas tarikh itu sampai 13, 14, dan 15 hari bulan belum balik tentu sahaja mereka bercuti,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, jika ditahan polis mereka perlu menjawab dan bertanggungjawab dengan tindakan itu.
“Jadi saya rasa dalam isu ini ibu bapa perlu bertanggungjawab, tidak perlu membohongi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tindakan akan diambil jika mereka didapati melanggar kebenaran yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kg Acheh, Manjung, Perak bermula esok.
Katanya, dari segi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) polis semalam, polis menahan 269 individu atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 251 telah dikompaun dan 18 individu direman.
“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan, merekod butiran diri atau pelanggan (85), tiada penjarakan fizikal (66), tidak memakai pelitup muka (65), merentas negeri tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan lain-lain (15),” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh sama menerusi Operasi Benteng pihak berkuasa menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk merampas empat bot. – Malaysiapost

