SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail menerima tawaran RM10 juta untuk melompat parti.
Kertas siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah dibuka oleh SPRM Johor dan agensi terbabit sedang mengesan saksi untuk diambil keterangan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, beberapa saksi sudah dikenal pasti dan tindakan mengesan sedang dilakukan bagi merakam keterangan mereka.
“Satu kertas siasatan telah dibuka bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah sebanyak RM10 juta sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail mendapat tawaran wang RM10 juta untuk beliau lompat parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Sekiranya mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa bukti atau keterangan baharu sila hubungi SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada Ahad lalu, Natrah dilaporkan membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan cubaan mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menjanjikan manfaat yang bakal diperoleh. – Malaysiapost

