AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kekal sebagai wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya mengesahkan perkara itu setelah meneliti dokumen-dokumen yang telah dihantar daripada kedua-dua pihak.
“Sebab mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan yang pre-signed dan undated (tidak bertarikh) adalah batal.
“Jadi mengambil kira kedudukan undang-undang yang ada sekarang mengenai undated, pre-signed letter of resignation. Maka saya mengambil keputusan bahawa kawasan DUN Sebatik masih kekal, tidak kosong,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Menurutnya, soal perjanjian Adun Sebatik dengan Warisan, adalah antara mereka dan pertimbangannya adalah mengenai kesahihan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh itu, mengikut undang-undang yang ada.
“Kalau kita ambil kira kenyataan-kenyataan daripada Presiden Warisan dan Setiausaha Agung, mereka sendiri mengakui bahawa semua calon-calon mereka telah menandatangani perakuan, jadi kalau ada tarikh 26 Februari, macam mana pula daripada bulan September dulu dia boleh tetapkan 26 Februari untuk letak jawatan. Di mana logiknya?,” katanya
Beliau berkata, pihaknya menerima dua dokumen yang telah dihantar oleh kedua-dua belah pihak ke Pejabat Speaker, kelmarin.
“Yang pertama saya terima ialah, dokumen akuan bersumpah menarik balik dan membatalkan surat peletakan jawatan Adun Sebatik yang dia telah dikatakan menandatangani semasa menjadi calon pilihan raya yang lepas.
“Dalam akaun bersumpah, beliau menarik balik ada meletakkan jawatan serta memaklumkan keluar daripada parti Warisan untuk menjadi Adun bebas dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan GRS,” katanya.
Menurutnya, satu lagi dokumen adalah yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Warisan, iaitu surat peletakan jawatan ADUN Sebatik.
Pada 25 Feb, Hassan A Gani memaklumkan beliau kini seorang Adun Bebas yang menyokong kerajaan negeri Sabah di bawah GRS serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan A Gani memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi. – Malaysiapost

