“Kalau takut sangat bersidang di ruang tertutup, boleh buat sidang parlimen di stadium yang ruangnya terbuka,” sinis Dr Abdul Aziz Bari.
Pakar Perlembagaan itu berkata demikian susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan antara alasan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang virus Covid-19 mudah merebak di ruang tertutup.
“Tak ada dalam perlembagaan atau undang-undang menetapkan persidangan Parlimen mesti bersidang di bangunan Parlimen. Kita boleh adakan di stadium atau kawasan yang lebih terbuka.
“Lagipun sebelum bangunan Parlimen wujud, Dewan Rakyat telah bersidang di tempat lain. Jika ruang terbuka seperti stadium, dengan SOP yang ada kita tak perlu bimbang dan akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini
Mengulas lanjut susulan tindakan kerajaan PN tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membenarkan Parlimen bersidang semula dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos, Abdul Aziz berkata perkara itu memang telah diramalkannya.
“Memang sudah diramalkan, kerajaan PN takut mengadakannya kerana ia akan menempah maut dan takut pada undi tidak percaya, ketika ini dikatakan ramai ahli parlimen akan mendesak undi tidak percaya dilakukan untuk memberi tekanan kepada Speaker.
“Seperti yang tertulis dalam fasal 14 Ordinan Darurat 2021, ada 2 maksud yang boleh kita faham. Agong berkuasa memanggil sidang Parlimen sidang tanpa perlu nasihat daripada Perdana Menteri.
“Namun Ordinan itu menyebut kerajaan juga boleh menasihatkan Agong untuk membenarkan Dewan Rakyat bersidang. Jadi biar rakyat menilai, kalau nak tunggu PM nasihat sampai bila pun tak akan berlaku kerana kita faham kegoyahan kerajaan PN.
“Proklamasi Darurat ini juga secara tersirat menunjukkan Agong tidak dapat menjalankan tugasnya seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah minggu lalu bahawa YDPA mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tengku Razaleigh atau Ku Li menyambut baik ketegasan dibuat melalui kenyataan dikeluarkan Istana Negara bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa.
“Sudah tentu rakyat gembira dengan kenyataan ini.
“Sebenarnya, memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil Parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Apatah lagi dalam keadaan darurat yang telah diisytiharkan. Penentuan tarikh persidangan yang sesuai boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Hari ini, Takiyuddin menjelaskan kenyataan Istana Negara minggu lalu adalah untuk menjelaskan bahawa Kabinet adalah pihak yang akan memberi nasihat kepada YDPA mengenai bila Parlimen boleh bersidang.
Katanya, melalui Ordinan Darurat, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menggubal undang-undang, tanpa perlu Parlimen bersidang.
“Panggilan mana-mana sidang Parlimen mesti mengikut keputusan Kabinet. Jadi, sekarang Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak akan ada sidang Parlimen. Begitulah keadaannya sekarang.
“Perdana menteri telah menjamin bahawa setelah darurat berakhir, Parlimen akan bersidang. Buat masa ini, ketika Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen dapat memberi tumpuan untuk memerangi Covid-19.
“Itu justifikasi kami, tidak ada alasan lain,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Takiyuddin juga berkata, Yang di-Pertuan Agong prihatin terhadap kesihatan dan keselamatan wakil rakyat yang mana 77 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat berusia lebih 60 tahun.
“Jadi, sebilangan besar 222 ahli Parlimen kita berisiko tinggi. Kami tidak mahu Ahli Parlimen terdedah, terutamanya kerana ia adalah kawasan tertutup,” katanya lagi.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/dah-tak-ada-negeri-pkp-bila-parlimen-boleh-bersidang/

