MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri memberi amaran, jangan bergurau atau mempersendakan kata-kata untuk keluar agama Islam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau Mohammad Sajjad Kamaruzzaman bahawa dia bukan lagi beragama Islam.
Sehubungan itu, Zulkifli meminta individu terbabit jangan memperkotak-katik dan memandang enteng berkenaan isu keluar agama atau murtad.
“(Amaran) bukan kepada Sajat sahaja tapi kepada semua… kalimah untuk keluar Islam atau murtad, tidak boleh dijadikan gurauan tapi kita hendaklah merasakan mulia apabila memeluk Islam dengan syahadah yang kita ucap, lafazkan serta ikrar yang kita janjikan.
“Perkara ini sepatutnya kita pandang serius kerana ia merupakan tunjang kepada agama Islam kita,” katanya hari ini.
Beliau turut menyerahkan isu itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menanganinya berikutan kes Sajat masih dalam siasatan jabatan berkenaan sebelum mengambil langkah seterusnya.
Terdahulu, satu video berdurasi seminit 48 saat yang tular di media sosial, memaparkan reaksi Sajat yang kesal terhadap JAIS dan memaklumkan keputusannya yang mahu keluar dari agama Islam.
Isnin lalu, media melaporkan JAIS meminta bantuan polis untuk menjejaki dan menangkap Sajat selepas menghilangkan diri.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata pihaknya sedia membantu JAIS mengesan Sajat yang menghilangkan diri, baru-baru ini.
Pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/keluar-islam-sajat-perlu-segera-bertaubat-mufti/

