Hospital Swasta bantu capai sasaran 150,000 suntikan sehari

0
1
pusat vaksin hkl hospital pantai covid

HOSPITAL swasta bakal terlibat secara langsung untuk membantu kerajaan dengan menyediakan pusat vaksinasi bagi fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.berkata sebaik saja perkara itu dilakukan, sasaran memberi antara 75,000 sehingga 150,000 suntikan sehari mampu dicapai.

Beliau memberi contoh, Hospital Pantai sudah digunakan sebagai pusat vaksinasi untuk petugas kesihatan swasta fasa pertama.

“Kami akan memasukkan lebih banyak hospital swasta untuk fasa kedua dan ketiga seperti yang pernah saya umumkan sebelum ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu mengulas ciapan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyarankan kerajaan melibatkan sektor swasta dalam pemberian vaksin Covid-19 supaya pengagihannya menjadi lebih berkesan dan telus jika kapasiti hospital awam tidak mencukupi.

Terdahulu, dalam ciapannya, Dr Dzulkefly berkata, kerjasama awam-swasta itu penting bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan 75,000 orang menerima suntikan vaksin dalam tempoh sehari menerusi PICK bermula di 600 pusat vaksinasi seluruh negara mulai bulan ini.

Beliau berkata, sasaran seterusnya, bergantung kepada bekalan supaya 150,000 suntikan sehari boleh dilaksanakan membabitkan dos kedua. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here