BEKAS Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa meminta penjelasan kepemimpinan Umno sama ada berita menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah benar.
Beliau juga bertanya sama ada Umno berpendapat kebersamaan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan.
Katanya, beliau difahamkan kedua-dua perkara itu terkandung dalam surat Presiden Umno kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari lalu, bagi memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik pada 19 Februari 2021.
“Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita ini benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut.
“Ahli juga perlu tahu apakah benar dua perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MKT. Jika benar tentu ahli mahu tahu rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila.
“Banyak persoalan yang timbul. Kenapa sudah diputuskan tidak berkerjasama sekarang, sedangkan ada usul sedemikian yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agung terlebih dahulu. Mengapa mendahului,” katanya hari ini.
Annuar berkata sekiranya benar keberadaan Umno dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan, apakah antara tarikh pembubaran Parlimen hingga PRU diadakan, Umno tidak berada dalam ‘caretaker government’.
Beliau berkata, tindakan yang dibuat ketika tarikh PRU belum diputuskan akan memberi keburukan kepada Umno kerana sudah tentu kerajaan, khususnya Bersatu tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak mereka.
“Tidak berkerjasama dengan Bersatu bererti tidak berkerjasama dengan PN yang terdiri dari ahli gabungan parti Bersatu, PAS, Gerakan, PBS, STAR dan lain-lain. Apakah ini menguatkan atau melemahkan parti?
“Kalau sudah buat keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu/ PN, maka ahli mahu tahu Umno mahu bekerjasama dengan siapa, bersendirian? Dengan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Dengan DAP dan Lim Kit Siang?
“Apakah keputusan ini sudah diterima oleh Dewan Tertinggi BN sedangkan dlm PRU kita bertanding atas nama BN,” katanya lagi. – Malaysiapost

