Jangan ‘mandulkan’ institusi demokrasi – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno Malaysia memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Menurutnya, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut memaklumkan perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Subperenggan itu menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Malah, tegas Pengelola Bijaya Diraja lagi, ‘…tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, bagi Pemuda Umno, Parlimen harus dibenarkan bersidang dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam situasi Covid-19, bagi membolehkan keberkesanan mekanisme semak dan imbang buat kerajaan sebagaimana tuntutan dan amalan demokrasi.

“Rakyat tentu sekali sukar untuk menerima alasan penangguhan Parlimen yang dibuat kerajaan bahawa sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19.

“Sedangkan, pasar malam, pusat beli belah, kedai makan, restoran, sekolah rendah dan menengah juga telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh darurat. Malah, proses vaksinisasi juga sudah dimulakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk ‘memandulkan’ institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada Ahli Parlimen untuk berbahas, meluluskan rang undang-undang serta membawa isu dan masalah mereka di Parlimen.

“Justeru, Pemuda Umno sekali lagi memohon agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menangguhkan Parlimen dan menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh darurat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here