Jangan rencatkan demokrasi berparlimen – PKR

0
1

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kenyataan itu jelas bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda.

Menurutnya, demokrasi berparlimen seharusnya diraikan, bukan direncatkan dengan alasan ‘tempang’.

“Alasan mengambil kira faktor kesihatan dan terdapat ramai Ahli Parlimen berusia emas adalah alasan dangkal yang mencacatkan demokrasi.

“Wakil-wakil rakyat merupakan kumpulan pertama penerima vaksin Covid-19. Sehubungan itu alasan kebimbangan berkait penularan wabak Covid-19 adalah tidak relevan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya membenarkan demokrasi berfungsi selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, saya menggesa kerajaan segera memanggil sidang Parlimen bagi membolehkan Ahli-Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/03/alasan-remeh-tiada-sidang-parlimen/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here