TMJ bakal ambil alih Valencia?

0
1

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan berminat untuk mengambil alih kelab Sepanyol, Valencia.

Menerusi perkongsian di Insta Story di Instagram miliknya, TMJ seakan-akan memberi petunjuk yang beliau mahukan cabaran baharu sambil menunjukkan beberapa imej yang memaparkan nilai ekonomi kelab La Liga itu.

Malah, media Sepanyol, Marca turut melaporkan perkembangan tersebut hari ini.

Pemilik kelab yang kini menduduki tangga ke-14 La Liga itu adalah Peter Lim, ahli perniagaan dari Singapura yang mempunyai hubungan baik dengan TMJ.

Menerusi perkongsian tersebut, TMJ berkata pertamanya baginda bukan ahli perniagaan, sebaliknya putera raja dan kedua bukan wang yang memotivasikannya, sebaliknya kegemilangan dan mencipta sejarah.

“Ketiga, bukan lagi rahsia saya amat cintakan dan meminati bola sepak. Keempat, saya bukan baharu dalam bola sepak. Saya telah membawa JDT daripada setiap tahun bergelut dengan penyingkiran kepada pasukan yang mendominasi kejauraan.

“Saya sudah menang 16 kejuaraan dalam lapan tahun. Kami kini terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di Asia.

“Kelima, saya mahu kembangkan lagi empayar, melabarkan sayap dan menempuh cabaran baharu,” tulis TMJ.

Baginda turut berkongsi data Consultancy Europa yang menunjukkan nilai perusahaan Valencia yang dianggarkan sekitar €408 juta.

“Dan yang terakhir, saya bukan seseorang yang akan mengubah logo atau tradisi kelab kamu. Seperti saya katakan awal tadi, saya adalah putera raja, bukan ahli perniagaan. Saya di sini untuk meraih kegemilangan, kejayaan dan mencipta sejarah.

“Apa yang Valencia perlukan? Kamu perlukan seseorang yang arif tentang bola sepak, dahagakan kejayaan dan faham betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab.

“Langkah pertama, kita perlukan orang [yang faham] bola sepak di dalam kelab. Itu sahaja,” katanya.

Cakap-cakap mengenai pengambilalihan Valencia oleh TMJ bukan sesuatu yang baru kerana pada Mac 2019 baginda dilaporkan bertemu Peter Lim di sebuah restoran terkemuka di Turin, Itali.

Ketika itu TMJ ditemani ejen terkenal dalam kancah bola sepak dunia, Jorge Mendes dan pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here