MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang mendapati Dewan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menetapkan seks luar tabii sebagai kesalahan jenayah.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya telah mengadakan Mesyuarat MAIS Khas bagi membincangkan keputusan mahkamah berkenaan semalam.
Menurutnya, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu berhubung petisyen di bawah Artikel 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang difailkan Iki Putra Mubarak, seorang lelaki beragama Islam yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 28 yang di baca bersama Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995.
Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan mendapati DUN tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak kompeten untuk menggubal peruntukan Seksyen 28 EJSS itu dan memutuskanya sebagai tidak sah serta tidak berperlembagaan.
Menurutnya, walaupun akur dengan keputusan itu, namun MAIS menegaskan ia tidak sama sekali boleh dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sama ada oleh pihak mahkamah mahupun MAIS.
“Ini kerana perbuatan persetubuhan sejenis atau luar tabii adalah suatu kesalahan amat serius di sisi agama Islam yang bercanggah dengan agama Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di Malaysia.
“Allah SWT melaknat sesiapa yang melakukan amalan kaum Nabi Luth (liwat) termasuk dalam dosa besar dan termasuk dalam perkara-perkara wajib dibendung bagi menjamin kelestarian kesejahteraan masyarakat di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesalahan seks luar tabii itu juga diperuntukan di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan boleh dijatuhi hukuman maksimum 20 tahun penjara dan rotan.
“Berikutan itu, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam di Selangor akan terus kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan untuk kesalahan yang dilakukan Iki Putra ini diteruskan PDRM mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Abdul Aziz berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa DUN untuk membuat undang-undang berhubung kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam, namun ia hendaklah selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai ll (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Persekutuan menyatakan DUN masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan Syariah yang meliputi kesalahan akidah, kesucian agama Islam dan berkaitan moral.
“Justeru, MAIS akan terus menyokong prinsip kesalahan syariah seperti sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan EJSS demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri terus terpelihara di Malaysia dan Selangor khasnya,” katanya – Malaysiapost

