TH agih untung 3.10 peratus untuk 2020

0
1

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat yang lebih baik iaitu 3.10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 kepada sembilan juta pendepositnya. 

Agihan keuntungan tahun lalu itu tinggi sedikit berbanding 3.05 peratus bagi tahun sebelumnya. 

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 juga melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata prestasi kewangan TH pada tahun lalu kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat Covid-19. 

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lalu. 

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilabur dengan selamat agar kekal mampan,” katanya menerusi kenyataan. 

Zulkifli berkata, setakat 26 Februari lalu, jumlah deposit di TH mencecah RM76.7 bilion, paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit. 

Sementara itu, Zulkifli berkata turut melunaskan pembayaran zakat RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada 2019. 

Sehubungan itu katanya, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima mereka. 

“Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam ini sehingga 12 tengah hari esok bagi melancarkan urusan agihan keuntungan. 

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas jam 12 tengah hari, esok menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here