KPM cadang penyuraian berperingkat pulang sekolah, atasi kesesakan

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan pihak sekolah menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat sekiranya sekolah tersebut mempunyai jumlah murid yang ramai.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata KPM sudah mencadangkan beberapa model penyuraian yang boleh dipertimbangkan pihak sekolah berdasarkan keadaan, kapasiti dan lokasi sekolah. 

Radzi berkata, pihaknya menyedari bahawa perkara berkaitan dengan penyuraian selepas tamat sesi persekolahan amat memerlukan perhatian khusus. 

“Ya benar, guru-guru boleh mengawal penyuraian dalam kawasan sekolah. 

“Bagaimanapun, untuk memastikan penyuraian di luar pagar sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, kerjasama daripada ibu bapa amatlah kami perlukan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, KPM sangat mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa bagi memastikan keadaan di luar kawasan sekolah teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan.

“Bantulah kami untuk pastikan keadaan di luar kawasan sekolah adalah teratur dan SOP dipatuhi sepenuhnya. Sekurang-kurangnya ibu bapa perlu sama-sama pastikan bahawa penjarakan fizikal di luar pagar sekolah sentiasa dipatuhi.

“Pihak sekolah tentunya telah berhubung dengan PIBG dan ibu bapa bagi mencari kaedah yang terbaik,” katanya.

Radzi berkata, KPM telah menyusun SOP yang terbaik sewaktu sesi persekolahan dengan mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekiranya ada maklumat tentang kesesakan yang tidak terkawal ketika penyuraian, boleh emelkan maklumat tersebut terus kepada saya di [email protected],” katanya.

Semalam Malaysiapost melaporkan, hari pertama sesi persekolahan dibuka menyaksikan pada awalnya ibu bapa mengikut SOP ditetapkan, namun situasi bertukar menjadi ‘huru-hara’ ketika waktu balik sekolah.

Keadaan tidak terkawal berlaku apabila ramai bapa bersesak-sesak di pintu keluar sekolah untuk menjemput anak mereka.

Tinjauan Malaysiapost di sebuah sekolah di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh tengah hari  semalam mendapati ibu bapa dan penjaga dilihat seperti tidak menghiraukan SOP terutama penjarakan fizikal ketika menunggu di luar sekolah untuk mengambil anak.

Keadaan tambah sesak apabila pintu kecil sekolah terbabit yang dijadikan laluan utama untuk murid Tahun Satu keluar selepas selesai sesi pagi, juga menjadi laluan masuk bagi murid Tahun Dua pada sesi petang. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here