TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail akan mengemukakan rayuan sekiranya keputusan dibuat Lembaga Displin Umno ke atas dirinya tidak wajar.
Beliau berkata, tindakan beliau akan bergantung kepada keputusan yang dibuat tribunal parti itu.
“Bergantung kepada keputusan, jika tidak wajar, saya akan buat rayuan jika adil dan wajar, insyaAllah saya terima.
“Saya harap tribunal akan pertimbangkan sebaik-baiknya hujah-hujah balas saya dan fakta-fakta kes yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal berkata, secara keseluruhan beliau berpuasa hati dengan perjalanan prosiding tribunal itu terhadapnya hari ini walaupun pada peringkat awal wujud pertikaian mengenainya.
“Segara keseluruhan berpuas hati dengan perjalanan prosiding, walaupun pada peringkat permulaan ada sedikit pertikaian.
“Terima kasih kepada Tribunal Lembaga Disiplin kerana membuka seluas-luasnya ruang untuk saya memberikan hujahan balas terhadap semua pertuduhan,” katanya.
Ditanya mengenai pertikaian yang dimaksudkan itu, Tun Faisal berkata ia berkaitan soal prosiding dan haknya sebagai orang kena tuduh dan ia telah diselesaikan dengan baik.
Katanya, beliau tidak boleh mengulas berhubung hujah bela diri namun pihaknya memberi hujah pokok setebal 16 muka surat tidak termasuk bahan-bahan lampiran.
“Saya sudah tahu (pengadu) tapi tak perlulah saya sebutkan rasanya awak (wartawan) boleh agak,” katanya.
Sementara itu, Tun Faisal berkata, beliau tidak pernah menyebut mengenai akuan bersumpah (SD) berhubung dakwaan sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Cuma saya nak betulkan, media tulis SD, tapi saya tak pernah sebut SD, saya sebut surat sokongan dan setia kepada Anwar Ibrahim,” katanya.
Terdahulu, prosiding terhadap beliau bermula jam 2.30 petang di hadapan Lembaga Disiplin parti yang dipengerusikan Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Tun Faisal sebelum ini diarah hadir ke tribunal selepas diberi surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap pelanggaran Perlembagaan Umno.
Selain itu, beliau seperti yang dipetik media sebelum ini berkata, ketelusan Lembaga Disiplin pernah diragui pelbagai pihak sebagaimana berlaku dalam kes-kes yang dibawa ke lembaga itu melibatkan pesalah kes politik wang semasa pemilihan parti, bagi kes yang hampir sama, hukumannya berbeza mengikut individu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/tun-faisal-mengadap-lembaga-disiplin-umno/

