AKTIVITI rentas daerah kini dibenarkan di semua negeri kecuali Sabah bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negeri kecuali Sabah.
Menurutnya, bagaimanapun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa pada 5 Mac ini maka pergerakan rentas daerah di dalam setiap negeri dibenarkan, cuma rentas negeri sahaja masih tidak dibenarkan.
“Bagi Sabah sebenarnya kerajaan negeri Sabah memohon agar sekatan daerah di negeri itu dikekalkan lagi untuk tempoh dua minggu lagi,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Beliau berkata, keadaan geografi Sabah yang luas dengan setiap daerah atau wilayahnya yang amat besar termasuk ada yang lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia.
“Kita faham Sabah merupakan negeri yang besar, wilayah yang amat besar di mana satu daerah di negeri itu adalah lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung.
“Contoh daerah Kinabatangan ianya sebesar negeri Pahang, sama dengan rentas negeri juga kalau merentas daerah di Sabah, jadi sebab itulah kerajaan Sabah meminta supaya ditangguhkan dahulu selama dua minggu untuk kebenaran rentas daerah,” katanya.
Menurutnya, pengumuman dibuat kerajaan hari ini diharap dapat menjawab persoalan rakyat mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga sekatan rentas daerah serta negeri. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

