PELANCARAN Program Imunisasi Covid-19 Kelantan menyaksikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengetuai suntikan vaksin Covid-19 Pfizer BioNTech hari ini.
Ia diikuti termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan petugas barisan hadapan di negeri tersebut.
Turut tersenai antara 48 individu yang menerima dos suntikan pertama vaksin Covid-19 adalah Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Menurut Ahmad, beliau mengakui perasaannya sedikit gementar sebelum menerima suntikan kerana wujud pelbagai versi diceritakan orang ramai.
“Namun, sebaik menerima vaksin, saya boleh katakan tidak sakit dan tak rasa apa-apapun… suntikan ini biasa sahaja. Jadi, saya nak beritahu orang ramai supaya jangan takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19” katanya selepas menerima suntikan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, hari ini.
Hari ini juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selamat menerima suntikan vaksin Pfizer di Klinik Kesihatan Titiwangsa hari ini.

Selepas disuntik, beliau diberi masa 30 minit berehat dan memaklumkan tiada merasai apa-apa kesan sampingan selepas itu.
Annuar dijadualkan menerima dos kedua pada 23 Mac depan juga menasihati orang ramai supaya jangan takut menghadapinya.
“Kalau belum download MySejahtera, eloklah segera, sangatlah perlu. Eloklah semua orang Ada MySejahtera dan melaluinya cepat-cepat membuat pendaftaran supaya mendapat giliran untuk divaksin,” katanya.
Pada perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di negeri itu hari ini.

Ia disusuli Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Menurut Sulaiman, antara 1,097 individu terawal yang menerima vaksin Covid-19 hari ini, 1,037 daripadanya membabitkan petugas barisan hadapan kesihatan manakala 60 lagi terdiri daripada petugas kerajaan negeri termasuk anggota Exco dan wakil rakyat.
Tambahnya, rakyat negeri itu tidak perlu bimbang untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut demi kebaikan bersama.
“Saya ambil suntikan tadi tidak terasa apa pun kerana jarum yang digunakan sangat halus dan saya berterima kasih kepada ‘vaccinator’ yang membuat suntikan kerana melakukannya dengan penuh tertib dan beradab,” katanya.
Selain itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador juga menjadi individu yang menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada hari ini.

Abdul Hamid menerima suntikan vaksin fasa pertama itu di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.
Tidak terkecuali, seramai 633 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BionTech fasa pertama di di Klinik Kesihatan Manir, Kuala Terengganu.
Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, jumlah itu termasuk pegawai, anggota dan kakitangan awam yang bertugas di bahagian pentadbiran.
“Kesemua mereka menerima suntikan secara berperingkat dan proses itu bermula dengan kakitangan di peringkat ibu pejabat Terengganu diikuti anggota di balai-balai bomba dan penyelamat (BBP) di setiap daerah,” katanya.
Khamis lalu, sebanyak 16,330 dos vaksin Covid- 19 jenis Pfizer-BioNTech tiba di negeri Terengganu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin tersebut. -Malaysiapost

