Hari kedua balik sekolah lebih teratur

0
1

HARI kedua sesi persekolahan tahun ini dilihat semakin lancar dengan proses kemasukan dan pulang sekolah membabitkan murid Tahun Satu dan Dua lebih teratur dengan ibu bapa lebih ‘berdisplin’ mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengurusan sekolah juga dilihat mengambil langkah lebih proaktif termasuk mengasingkan laluan masuk dan pulang bagi murid Tahun Satu dan Dua bagi mengelakkan kesesakan. 

Tali rintangan bagi membahagikan kawasan ibu bapa menunggu juga di pasang agar tidak berlaku kesesakan hingga melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama membabitkan penjarakan sosial di laluan utama murid keluar.

Difahamkan, langkah sama dilakukan oleh kebanyakan sekolah yang turut menghadapi situasi kesesakan ketika waktu murid pulang sekolah semalam. 

Tinjauan Malaysiapost di sekolah sama di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh yang berlaku keadaan ‘huru hara’ ketika waktu murid balik sekolah semalam, mendapati keadaan lebih terkawal dengan murid di kumpul mengikut kelas di tempat menunggu di luar pintu sekolah. 

Guru-guru turut dilihat menguruskan proses pelepasan murid dengan mengasingkan murid yang menaiki van atau bas sekolah dengan murid yang dijemput oleh ibu bapa atau penjaga.

Beberapa anggota polis turut hadir bagi mengawal keadaan termasuk mengingatkan ibu bapa melalui alat pembesar suara supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial. 

Difahamkan pengurusan sekolah juga sudah mengadakan mesyuarat bagi memikirkan langkah yang perlu bagi mengatasi kesesakan yang dijangka berlaku minggu depan susulan kemasukan murid lain pula.

Malaysiapost semalam, melaporkan hari pertama sesi persekolahan dibuka, pada awalnya teratur dengan ibu bapa mengikut SOP ditetapkan, namun situasi bertukar menjadi ‘huru hara’ ketika waktu balik sekolah. 

Keadaan tidak terkawal berlaku apabila ramai ibu bapa bersesak-sesak di pintu keluar sekolah untuk menjemput anak mereka. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/pergi-terkawal-balik-sekolah-huru-hara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here