Tan Sri, Datuk dalang sindiket dadah akan diberkas – KPN

0
1

POLIS memberi jaminan individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang mendalangi sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di negara ini akan berjaya dijejaki. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ini kerana data lengkap mengenai mereka sudah diperoleh.

Katanya, individu terbabit sudah lama dalam pemerhatian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan ketika itu pihaknya menghadapi sedikit masalah mengaitkan mereka dengan sindiket dadah berkenaan.

Justeru, katanya, tindakan polis mendedahkan sebahagian perkembangan siasatan kes itu kepada media bukan amaran kosong yang boleh merosakkan rancangan sedia ada, sebaliknya hanya ingin berkongsi dengan masyarakat bahawa ancaman dadah di negara ini sangat serius.

“Mereka ini bertindak sebagai pembiaya yang menggerakkan aktiviti (kartel) dadah menggunakan orang kepercayaan. Usaha akan sia-sia jika kita hanya tangkap dan dakwa orang di bawah, namun VVIP ini terlepas.

“Saya tidak mahu dituduh di kemudian hari sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani ancaman dadah apabila ia menular hingga membabitkan ratusan anggota polis sendiri. Tiada alternatif lain (melainkan mendedahkannya kepada umum),” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa akhbar semalam mengenai tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang disyaki dalang utama kartel dadah antarabangsa berpangkalan di negara ini, kini berada dalam pemerhatian polis.

Susulan pendedahan itu, banyak komen dari warga net yang mendakwa pendedahan itu memberi kelebihan kepada individu disyaki untuk lolos, selain menghapuskan bukti.

Abdul Hamid berkata, terdapat lebih lima sindiket dadah yang dikenal pasti didalangi individu bergelar VVIP berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya serius dan terdesak untuk menambah bilangan perjawatan di JSJN PDRM dalam usaha membanteras dadah hingga habis-habisan.

“Sudah berkali-kali rayuan dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya keanggotaan JSJN dapat ditambah. Saya ingin sedarkan semua pihak bahawa ia (keanggotaan JSJN tidak mencukupi) adalah benar, bukan sengaja mahu memperbesarkan keanggotaan PDRM.

“Bahkan (sebelum) ini ada saja anggota yang dianggap kurang diperlukan di sesuatu jabatan atau cawangan, kemudian dipindahkan ke sesuatu jabatan lain yang ancamannya naik secara mendadak. Namun, ia masih tidak menyelesaikan masalah kekurangan anggota di JSJN,” katanya. -Malaysiapost 

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/28/kartel-dadah-3-individu-bergelar-tan-sri-datuk-dikenalpasti/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here