Nilam Oshman
KEMENTERIAN Pertahanan berusaha membantu anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan membina rumah kos mampu milik.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain keselamatan tentera, kerajaan turut memberi tumpuan kepada kebajikan dari segi perumahan.
“Kira-kira 35,000 unit rumah masih diperlukan oleh anggota tentera, dan kerajaan pada tahun ini telah meluluskan RM500 juta untuk pembinaan 1,000 unit.
“Oleh itu, kita merancang untuk mempercepatkan usaha ini, bukan hanya tunggu bajet dari kerajaan, tetapi usaha lain melalui rakan kongsi dan pihak lain, kita masih dalam usaha itu,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, rumah angkatan tentera telah pun dibina di Sarawak.
Katanya, kementerian itu kini mempunyai polisi tidak ada lagi kuarters dua bilik.
“Kalau dulu rumah dua bilik saja, sudah tidak sesuai lagi, jadi kita hendak bina tiga bilik.
“Sekarang ini kita pecahkan rumah dua unit menjadi satu. Ini juga program yang kita lakukan untuk memberikan keselesaan kepada anggota,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan satu lagi program iaitu satu rumah satu anggota.
“Ramai anggota kita yang pencen tidak ada rumah akhirnya menyewa, jadi dengan program ini, harga rumah ditawarkan lebih rendah iaitu antara RM150,000 hingga RM250,000 mengikut tempat.
“Sekarang, di Sungai Besi kita ada 3,500 unit perumahan. Kita juga telah luluskan (perumahan) beberapa tempat termasuk Genting Klang sebanyak 7,000 unit,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :

