MB, Ketua Polis yang pertama terima suntikan vaksin di Johor

0
1

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu hari ini.

Giliran tersebut disusuli Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, R Vidyanathan; Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Aman Rabu; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Hasni, suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama akan melibatkan seramai 35,100 petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, suntikan fasa pertama yang bermula hari ini dijangkakan selesai pada April ini melibatkan sebanyak 70,200 dos.

Katanya, setiap penerima vaksin Covid-19 akan diberikan dua suntikan dos, di mana dos kedua diselangi selepas 21 hari daripada pemberian dos pertama.

“Jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan di negeri ini seramai 41,034 orang, jadi terdapat kekurangan seramai 5,934 orang yang akan diberikan suntikan pada fasa kedua.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini mendapat suntikan vaksin imunisasi Covid-19 sebagai norma baharu,” katanya pada sidang media sebelum memulakan suntikan vaksin Covid-19 di Johor Bahru, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ayob berkata, semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor akan menerima suntikan vaksin imunisasi Covid-19, kecuali mereka diberikan pengecualian atas nasihat doktor.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kata beliau, daripada keseluruhan lebih 10,000 pegawai dan anggotanya, seramai 1,018 akan dikecualikan.
Katanya, pengecualian itu berikutan mempunyai isu kesihatan seperti kehamilan, penyakit kronik, alahan dan sebagainya.

“Dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama ini, seramai 4,000 pegawai dan anggota akan diberikan vaksin, manakala lebih daripada 4,000 pegawai dan anggota yang lain akan diberikan dalam fasa kedua.

“Daripada keseluruhan pegawai dan anggota polis Johor, seramai 1,018 dikecualikan kerana ada isu kesihatan, namun yang lain akan ambil vaksin ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here