MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan permohonan injunksi sementara oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi daripada menerusi catatannya di Facebook.
Sebelum ini, Mohd Puad menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin supaya dia memohon maaf dan memadam posting di media sosial yang mendakwa layanan berbeza kepada rakyat berhubung prosedur operasi standard dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.
Catatan FB itu dimuat naik pada 9 Februari lalu.
Peguam perdana menteri, Rosli Dahlan berkata, Hakim Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan ex-parte plaintif bagi menghalang Mohd Puad daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi, menerbitkan semula atau menyiarkan semula dan/atau berkongsi semula dalam apa cara sekalipun satu hantaran Facebook bertajuk “Kuarantin pun ada dua darjat”.
Peguam itu menjelaskan, saman fitnah utama telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini.
“Writ saman difailkan pagi ini dengan sijil perakuan segera untuk mendengar notis permohonan bagi injunksi sementara.
“Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi sementara itu sementara menunggu perbicaraan inter-parte (antara pihak) yang ditetapkan pada 12 Mac,” kata Rosli seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Turut hadir, peguam DP Naban dan Louis Liaw yang juga mewakili Muhyiddin.
Dalam notis permohonan ex-parte difailkan bersama dengan writ saman itu, Muhyiddin memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd Puad selaku defendan atau ejennya, wakilnya atau sesiapa sahaja daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara itu menerusi akaun Facebook milik Mohd Puad.
Muhyiddin memfailkan permohonan atas alasan penghantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi dan nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.
“Saman telah difailkan (hari ini) dan dibenarkan (oleh hakim Firuz),” kata Rosli sambil menambahkan bahawa perintah larangan itu diberikan setelah pendengaran permohonan injunksi awal hari ini.
Peguam itu menjelaskan, perintah injunksi terhadap Mohd Puad akan berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Mac ini, apabila mahkamah akan membicarakan permohonan injunksi Muhyiddin. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

