Kompaun RM10,000 bawah Ordinan Darurat – Ismail Sabri

0
1

Nilam Oshman

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kompaun maksimum RM10,000 bagi kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilaksanakan kerana menggunakan Ordinan Darurat.

Kata beliau, jumlah kompaun itu dikenakan bergantung kepada kesalahan individu tersebut, namun ia khususnya bagi tempat hiburan seperti kelab malam.

“Ordinan Darurat bukan Akta 342, sedangkan akta ini adalah Akta 1988. Kemudian hukuman RM1,000 itu adalah berdasarkan bawah Akta Tafsiran 1967.

“Jumlah kompaun RM1,000 pada tahun 1967 itu besar, tetapi sekarang ini jumlah itu sesiapapun boleh bayar. Maksud saya yang melibatkan tempat hiburan, bukan semua orang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah menjelaskan perkara isu kompaun berkenaan.

“Mana-mana individu melakukan kesalahan berulang sampai tiga, empat kali, kita istilah sebagai degil dan akan dikenakan kompaun sampai RM10,000.

“Kompaun ini juga bagi yang melakukan kesalahan melampau, sebagai contoh kelab malam. Yang pergi sana, dah tahu tak boleh pergi tetapi pergi juga.

“Kelab malam itu dibuka sebab ramai yang pergi, kalau seorang tidak pergi, kelab akan tutup. Dia seolah memberi sokongan kepada pub. Ini boleh dikenakan kompaun RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan seterusnya bagi mereka yang dalam tempoh kuarantin dan dipakaikan gelang, tetapi dijumpai merayau di luar tempat kuarantin, contohnya di pasar.

Kata Ismail, kes itu boleh dikenakan tindakan atas kesalahan melampau yang boleh menyebabkan orang lain mendapat jangkitan Covid-19.

Menurutnya, Ketua Polis Negara sudah memaklumkan polis telah diarahkan melakukan pemantauan.

Jelasnya lagi, individu yang tidak memakai topeng muka tidak akan dikenakan kompaun RM10,000.

“Cuma, saya nak bagitahu satu lagi undang-undang ini, ia ada maksimum dan tiada minimum. Kalau anda kena maksimum tidak semestinya kena kompaun RM10,000.

“Yang menerima pembayaran kompaun itu adalah Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis hanya mengeluarkan saman.

“Malah, anda boleh lagi membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan, boleh jadi RM100 atau RM1,000. Semuanya atas budi bicara KKM atau Pejabat Daerah Kesihatan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here