Maszlee saran kerajaan teruskan program sarapan untuk 4.79 juta murid

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa meneruskan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua 4.79 juta murid di seluruh negara.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata PSP telah dimulakan secara rintis di beberapa sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 iaitu 64 hari persekolahan.

Katanya, hasil projek rintis itu yang telah lengkap direkodkan sepatutnya boleh menjadi asas pelaksanaan PSP dengan lebih meluas di seluruh negara.

“Saranan ini saya utarakan kerana ia terbukti akan membantu tiga golongan sasar yang mendapat manfaat secara langsung melalui program ini iaitu murid, ibu bapa dan pengusaha kantin.

“Menurut kajian, hampir 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pada hari persekolahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Maszlee berkata beberapa laporan turut mendedahkan dapatan yang sama iaitu wujudnya isu bantut dan malnutrisi serius dalam kalangan murid sekolah rendah di negara ini.

PSP katanya, akan menjadi program intervensi untuk memastikan semua murid mendapat sarapan berkhasiat sepanjang tahun tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.

“Dalam masa yang sama PSP akan membantu lebih 2.4 juta keluarga miskin di seluruh negara, sebahagiannya warga M40 yang hari ini telah jatuh menjadi warga B40 akibat pandemik ini,” katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata menurut Profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai, program PSP akan memberi penjimatan sebanyak RM2.3 bilion kepada ibu bapa di seluruh negara.

“Ramai ibu bapa yang hari ini tertekan akibat perlu memberi wang saku kepada anak mereka yang perlu bersekolah akan mendapat lebihan wang untuk dibelanjakan ketika pandemik Covid-19 ini masih belum reda.

“Selain itu, program PSP ini akan memberi kelegaan kepada lebih dari 70,000 pekerja kantin di seluruh negara yang selama ini terkesan akibat penutupan sekolah.

“Ini penting kerana mereka ini kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here