Isu keluar parti : PKR mahu ambil tindakan mahkamah

0
2

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Larry Sng dan Steven Choong ekoran tindakan dua ahli parlimen itu keluar parti.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tindakan dua ahli parlimen itu merupakan satu pengkhianatan dan berpaling tadah kepada mandat rakyat dan parti itu.

Saifuddin berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk memecat Larry dan Steven.

“MPP telah membuat keputusan hari ini untuk memecat kedua-dua ketua cabangnya itu sebagai anggota PKR dengan serta-merta.

“Jentera PKR di kedua-dua cabang tersebut diminta melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah, serta bersiap sedia (PKR) mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket PKR tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti,” katanya.

Beliau berkata, apa yang jelas pada ketika wabak Covid-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram serta darurat, digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti.

“Iaitu dengan memberi masa untuk mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen melalui ugutan mahupun tawaran jawatan dan habuan.

“Walaupun dengan pengkhianatan dua Ahli Parlimen hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa majoriti Ahli-ahli Parlimen sudah tidak lagi bersama beliau.

“Beliau sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan Kerajaan yang lemah ini, tetapi meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan PN menerima sokongan dua Ahli Parlimen PKR itu sekali gus mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai kuasa pemerintah yang menerajui kerajaan.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu telah bertemu dan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, tengah hari tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here