Sultan Selangor berkenan terima giliran suntikan vaksin

0
2

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 selepas semua petugas barisan hadapan di Selangor selesai menerimanya.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan melalui Selangor Royal Office, berkata ini termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan vaksin berkenaan.

“Tegas baginda, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

“Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, baginda sendiri akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih satu meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, baginda berkenan menasihatkan rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Baginda mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti vaksin.

“Titah baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Namun demikian, walaupun sudah mendapatkan vaksin kelak, baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here