PORTAL Malaysiapost sedia menganjurkan debat antara bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, jika kedua-duanya bersetuju untuk berkongsi platform berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan 4.
Kesediaan kami itu susulan kenyataan Maszlee malam tadi yang mahu menjemput Asyraf Wajdi bersemuka dalam dialog terbuka menerusi mana-mana platform media bebas.
Maszlee memuat naik kenyataan itu selepas melahirkan kekecewaan kerana tidak dijemput dalam Diskusi Live Facebook Pemuda Umno Malaysia bertajuk Buku Teks Sejarah Dimanipulasi – Komunis Pula Diagungkan?
Selain Asyraf Wajdi, tetamu diskusi tersebut ialah pakar Sejarah dan penulis buku teks Sejarah KBSM, Prof Datuk Dr Ramlah Adam serta Timbalan Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Menolak Buku Sejarah Tingkatan 4, Datuk Yazid Othman.
Untuk rekod, isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis dilaporkan lebih awal oleh Malaysiapost pada 24 Oktober 2020, susulan temubual dengan Dr Ramlah yang memberikan pandangannya berhubung perkara tersebut.
Usaha Malaysiapost mendapatkan reaksi pelbagai pihak ketika itu bagaimanapun tidak mendapat sebarang maklum balas sehinggalah ia diketengahkan oleh Pemuda Umno, baru-baru ini.
Menerusi jemputan kepada Asyraf Wajdi untuk berdialog, Maszlee berkata beliau mengalu-alukan jika ada pihak media bebas yang sudi menganjurkan sesi itu secara langsung.
“Sesi dialog ini juga boleh dihadiri oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum serta wakil dari Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memberi pandangan mereka berkaitan tatacara dan prosedur penerbitan buku teks KSSM,” katanya.
Malaysiapost menerusi program bual bicara dinamakan Sudut Pandang sebelum ini telah menjemput pemimpin politik daripada pelbagai latar belakang dan parti politik.
Antaranya, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari; Penolong Setiausaha Wanita DAP, Young Syefura Othman; Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip, selain tokoh-tokoh politik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Rabu lalu, Asyraf Wajdi menerusi kenyataan berkata Pemuda Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM.
Asyraf Wajdi mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Beliau mendakwa, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.
Susulan itu, Maszlee berkata Asyraf Wajdi sepatutnya bertanya kepada Menteri Pendidikan dari Umno yang mengetuai KPM pada 2017.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan kurikulum Sejarah disemak semula pada 2014 dan dilaksanakan pada 2017 bermula dengan murid Tingkatan Satu.
Katanya, ia bererti, kohort pelajar Tingkatan Satu 2017 akan memasuki Tingkatan Empat pada 2020.
“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada 1989.
“Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari Umno,” katanya. – Malaysiapost

