Kes Proton Waja: Polis cari ‘Bob Mah Sing’

0
2

POLIS sedang giat memburu suspek dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ yang disyaki terlibat dalam kes merempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, hari ini.

Suspek berumur 40-an dipercayai melarikan diri selepas cuba ditahan sepasukan polis dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Seorang lagi suspek berumur 35 tahun telah ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kenderaan mereka ditinggalkan di tepi jalan, jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pemeriksaan mendapati suspek yang ditahan itu memiliki lapan rekod jenayah berkaitan dadah.

“Permohonan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pasukan bantuan daripada Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) berjaya mengesan dan merampas plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram yang ditinggalkan dalam kenderaan suspek.

Terdahulu, tular Proton Waja dinaiki dua lelaki cuba melarikan diri dengan merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Sierramas, hingga memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan. 

Kejadian itu dirakam pengguna jalan raya dan video berdurasi satu minit 45 saat berkenaan menunjukkan kereta tersebut merempuh sebuah lori dan Perodua Myvi ynag berhenti di persimpangan lampu isyarat merah. 

Dua anggota polis cuba menghentikan kereta terbabit namun pemandu Proton Waja cuba melarikan diri dengan merempuh kenderaan di hadapan berulang kali serta kenderaan di belakangnya. 

Keadaan itu memaksa seorang daripada anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta terbabit, namun kenderaan itu akhirnya lolos dan suspek memecut ke arah Jalan Kuala Selangor.

Difahamkan suspek kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran MRT Damansara Damai sebelum dua lelaki keluar dari kereta itu dan melarikan diri. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here