Pertikai proklamasi darurat, Anwar selesai beri keterangan

0
3

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan selesai memberi keterangan kepada polis hari ini, berhubung kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menolak keputusan pengisytiharan darurat dibuat kerajaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata, pegawai penyiasat kes itu telah ke Ibu Pejabat PKR pada jam 3.30 petang untuk merakam keterangan Anwar.
“Saya boleh sahkan pegawai polis hari ini telah selesai mengambil keterangan daripada Anwar Ibrahim petang tadi.
“Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman yang menyiasat kes ini telah ke pejabat pemimpin itu dan ambil keterangan daripadanya,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette. 
Menurut Huzir, kes disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, mengikut Seksyen 505 (b) jika disabitkan kesalahan seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala di bawah Seksyen 233 AKMM memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 Januari lalu, Majlis Presiden PH dalam kenyataan Anwar bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak keputusan kerajaan mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here