
LEMBAGA Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (LPKPM) meminda jadual masa sesi petang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berkuatkuasa 1 Mac ini.
Waktu mula peperiksaan sesi petang itu dipinda lewat selama 15 minit iaitu daripada jam 2 petang kepada jam 2.15 petang, sehingga peperiksaan tamat pada 25 Mac depan.
LPKPM dalam satu kenyataannya malam ini berkata, memaklumkan pindaan itu bertujuan memberi ruang dan keselesaan kepada calon SPM berehat, makan serta menunaikan solat sementara menunggu waktu peperiksaan sesi petang.
“Sehubungan itu, LPKPM memohon semua pihak terbabit dengan peperiksaan SPM 2020 termasuk calon, ibu bapa, petugas peperiksaan, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk ambil perhatian serta tindakan berkaitan.
“Pindaan ini dibuat demi kepentingan dan kebajikan calon bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan SPM 2020 yang berlangsung bermula 22 Februari lalu hingga 25 Mac ini. – Malaysiapost
