Perlu bersedia tangani wabak lain pada masa depan – Anwar

0
1

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan bagi pelbagai wabak lain yang mungkin melanda di masa hadapan. 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjangkakan wabak Covid-19 bukanlah yang terakhir akan dihadapi dan justeru itu pengalaman menghadapinya perlu digunakan bagi cabaran yang mendatang. 
“Berdasarkan perkembangan serta kajian terkini, tampaknya wabak Covid-19 ini bukanlah wabak yang terakhir yang harus kita hadapi, malah wabak yang seterusnya boleh datang dengan lebih cepat dengan kesan yang bukan kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Beliau berkata, dalam berdepan Covid-19, ketibaan vaksin di negara ketika ini pastinya memberi sinar baru yang diharapkan semua, namun ia memerlukan lebih dari sekadar mempertontonkan pengambilan vaksin secara langsung di kaca televisyen.
Menurutnya, kerajaan yang prihatin tidak akan teragak-agak untuk memperpanjangkan moratorium, tidak akan memperjudi nasib anak bangsa yang kini mengalami masalah akses pada pendidikan, serta dalam masa yang sama mereka disulitkan pula dengan sikap dan pendekatan pemerintah untuk membuka sekolah tanpa rencana yang jelas.
“Kerajaan yang prihatin pasti tersedia dengan rencana atau pelan yang jelas dan yang tidak mengelirukan rakyat, terutamanya dalam setiap pengumuman penting terkait perintah kawalan pergerakan. 
“Benar, ia tersangatlah penting bagi kita semua untuk patuh pada SOP, sama penting untuk berpadu bagi mendapatkan vaksin. 
“Tapi kita juga harus ingat ia bukan alasan untuk kita menganggap segalanya segera pulih dan SOP itu boleh diremehkan,” katanya. 
Beliau turut mempersoalkan mengenai langkah-langkah yang telah diambil kerajaan yang tiada rencana jelas bukan sahaja dalam soal vaksinasi, tetapi juga apa yang akan kita hadapi kemudian. 
“Kita harus bersedia sekarang, waima selepas menerima vaksin bahawa kita mesti melakukan pengubahsuaian dalam tata hidup kita agar kes-kes baru dapat dijauhi. 
“Kita juga mesti bersedia untuk gejala wabak yang akan datang dan persiapkan segalanya dan perbetulkan.
“Perjalanan kita masih panjang ke arah fasa penyembuhan dan kita mesti tingkatkan disiplin serta sikap berjaga-jaga,” katanya. 
Anwar berharap kerajaan memberi perhatian kepada perkara yang dibangkitkannya itu dan merencana semula serta menjelaskannya kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here