SESI persekolahan yang sepatutnya bermula Isnin ini terpaksa ditangguhkan di sembilan daerah di Sarawak susulan jumlah kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan masih tinggi.
Penangguhan adalah sehingga 14 Mac ini dan keputusan itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
Sembilan daerah itu ialah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, penangguhan itu dibuat atas nasihat JKNS dan selepas perbincangan dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Justeru pembukaan sesi persekolahan di sembilan daerah di Sarawak itu ditangguh selama dua minggu berkuat kuasa 1 hingga 14 Mac 2021.
“Keputusan dibuat selepas mengambil kira kapasiti sistem kesihatan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JPBN Sarawak juga sudah mewujudkan jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri dapat berjalan lancar dan selamat.
Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lalu mengumumkan sesi persekolahan dibuka secara berperingkat.
Menurutnya, bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua akan bermula 1 Mac ini, manakala murid Tahun Tiga hingga Enam dibenarkan hadir ke sekolah bermula 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah Menengah kategori kumpulan A iaitu di Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula akan bermula pada 4 April diikuti 5 April membabitkan kumpulan B bagi negeri lain. – Malaysiapost

