ZAMAN siapa yang sudah berakhir?, sindir Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan kepada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ini kerana kata Zahida, bekas pemimpin nombor satu Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengaku masih sayang pada Umno.
“Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?
“Alhamdulillah, ‘pohon’ Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas Wan Ahmad Fahysal dilaporkan berkata zaman di mana sebuah parti politik mendominasi politik Malaysia sudah tamat.
Mengulas lanjut, Zahida berkata Umno akan terus kuat, untuk terus memayungi rakyat dan negara.
“Kamu kata zaman Umno sudah berakhir. Ironinya, boss kamu dahulu Tun Mahathir mengaku masih sayang Umno.
“Jadi zaman siapa yang sudah berakhir? Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah ‘mencetak wang’,” katanya. – Malaysiapost

