PEMUDA Umno memandang serius fakta yang dimanipulasi dengan mengagungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa perkara itu semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Beliau mendakwa, ia bertujuan menanam benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk, malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.
“Lebih mendukacitakan lagi apabila terdapat elemen memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang Komunis dan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). (Rujuk muka surat 75).
“Secara halus dan tersirat, kerajaan PH terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota Komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, sehubungan itu Pemuda Umno mendesak KPM segera menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi mengubah sejarah negara.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan, pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata menerusi Bab 6 buku teks tersebut, peranan Parti Komunis Malaysia (PKM) sangat menonjol berbanding paparan mengenai perjuangan Umno ketika menuntut kemerdekaan.
Katanya, walaupun tajuk babnya ‘Ancaman Komunis dan Pengistiharan Darurat’ namun huraian mengenai PKM dan gerakannya mengangkat senjata menentang British, Raja-Raja Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu diceritakan terperinci, mengatasi kepentingan pihak berkuasa menentang PKM.

Dalam bab tersebut, beliau menjelaskan penulis meletakkan senarai serangan PKM pada muka surat 151 sebagai satu matlamat penting.
“Adakah ini menunjukkan kehebatan PKM mengalahkan pasukan keselamatan negara? Tidakkah ini menunjukkan kelemahan pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu menentang PKM?
“Mengapakah tidak dimasukkan kejayaan Angkatan Tentera, askar Melayu, pasukan polis tempatan, komando dan tentera Komanwel memburu dan menghancurkan serangan-serangan PKM daripada 1948 hingga 1960, sehingga ia lari keluar ke Thailand?” katanya.
Dr Ramlah berkata, memang ada penceritaan tentang pasukan keselamatan tetapi kejayaan perjuangan dan serangan mereka ke atas pihak komunis tidak disebut.
“Jadi ia akan membuatkan pelajar dan guru berfikir tentang kelemahan pasukan Persekutuan Tanah Melayu kerana tiada maklumat tentang hal berkenaan.
“Itu silap, kita mengagungkan komunis (Komunis Bintang Tiga) ini yang mengambil kesempatan untuk berkuasa di Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah dengan menimbulkan kacau-bilau melalui rusuhan serta pergaduhan antara kaum selama 14 hari.
“Tidakkah ini boleh dilihat mereka (penulis) mengutamakan kehebatan komunis daripada pasukan keselamatan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/10/24/sejarah-tingkatan-4-agungkan-komunis/

