Wan Fayhsal nafi keluarkan kenyataan timbulkan ketegangan dengan Umno

0
1

KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan telah mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketegangan dengan pemimpin Umno.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata kenyataan beliau telah disalah tafsir menerusi beberapa tajuk berita yang disifatkannya sebagai nakal.

“Apa yang saya katakan:

  1. Pertembungan tiga penjuru (Bersatu, PAS dan Umno) dalam mana-mana pilihan raya akan merugikan semua pihak.
  2. Sebab itulah kerjasama adalah penting, maka harapan saya ialah Umno dapat duduk semeja untuk teruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
  3. Realitinya, hari ini tiada parti politik yang dominan. Mana-mana pihak yang ingin mencapai majoriti dalam pilihan raya perlulah bergerak bersama.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, rakyat Malaysia berhak tahu fakta yang benar, bukan imaginasi pihak ketiga.

“Saya seru agar laporan-laporan yang nakal dapat dibetulkan, terutamanya oleh Malay Mail,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata Armada berharap Umno masih bersama PN bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pertembungan tiga penjuru jika berlaku, akan merugikan bukan sahaja PN, malah Umno.

“Walau apapun kita masih terbuka untuk menerima malah mengharapkan Umno bersama-sama dengan PN agar pertandingan tiga penjuru dapat dielak.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil, kalau kita bertembung di kerusi majoriti Melayu, kerugian kepada kedua-dua belah pihak (Bersatu dan Umno) dan apa yang kita harapkan tidak akan tercapai.

“Ini perkara yang kita perlu sama-sama fikir, Umno perlu fikirkan bahawa zaman di mana sebuah parti politik mendominasi politik Malaysia sudah tamat,” katanya.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal terutama berhubung zaman di mana sebuah parti politik mendominasi politik Malaysia sudah tamat, telah menimbulkan reaksi kurang senang daripada beberapa pemimpin Umno.

Antaranya Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang bertanya semula kepada Wan Ahmad Fayhsal bahawa zaman siapa sebenarnya sudah berakhir.

Ini kerana kata Zahida, bekas pemimpin nombor satu Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengaku masih sayang pada Umno.

“Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?

“Alhamdulillah, ‘pohon’ Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here