TIDAK mustahil Umno boleh bekerjasama dengan pihak atau parti yang telah dilabel sebagai ‘musuh’ politik, seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, parti yang pernah beliau pimpin selama sembilan tahun itu, sememangnya mengamalkan pendirian terbuka kepada semua pilihan.
Namun, katanya, ia haruslah mendapat persetujuan pemimpin dan akar umbi.
“Politics is the art of possible… saya tak nampak apa-apa sebab kita tak boleh ada sikap keterbukaan kita untuk kerjasama, dengan syarat – ahli-ahli dan pemimpin Umno mesti boleh terima, dan mereka ikhlas, ada trust (kepercayaan) dalam kerjasama.
“Tapi kalau kita nak buat satu pakatan politik baharu, dan tidak berdasar pada kebolehpercayaan atau trust, ia akan runtuh, lambat-laun akan runtuh. Ia (telah pun) berlaku pada Pakatan Harapan sebab asas kepercayaan itu tidak ada,” katanya seperti dilapor Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu, berkata, kerjasama antara pihak atau parti yang dianggap seteru politik bukanlah perkara baharu dalam negara ini.
“Kalau lihat pada PH pun siapa boleh fikirkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bersama-sama dalam satu pakatan politik untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
“Tetapi ia berlaku. Dr Mahathir dengan DAP umpamanya, boleh duduk semeja, boleh lantik DAP jawatan-jawatan (Kabinet) yang penting,” katanya.
Namun, tambah beliau lagi, ia akhirnya gagal bertahan sehingga pilihan raya umum (PRU) seterusnya, ekoran rasa tidak percaya yang bercambah dalam kalangan parti komponen PH.
Atas sebab itu, Najib sekali lagi menegaskan, sebarang keputusan yang melibatkan perubahan dasar atau prinsip Umno, khususnya dalam kerjasama dengan parti politik lain, perlu melalui perbincangan yang menyeluruh, dan diterima akar umbi parti itu.
Bagaimanapun, menerusi laporan Malaysiapost semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan pendirian bahawa parti itu tidak sesekali akan menggadaikan prinsipnya untuk menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dalam usaha merampas kembali takhta kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kata beliau, parti itu tidak mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara sepertimana Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata untuk kembali berkuasa menjadi Perdana Menteri pada PRU14 lalu. -Malaysiapost
Artikel berkaitan

