Lembah Lenggong bakal diisytihar Geopark Kebangsaan

0
1

LEMBAH Lenggong dijangka akan diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada Julai tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jawatankuasa dan pasukan di bawah kementeriannya sudah berada pada fasa melengkapkan kajian berhubung cadangan itu sebelum ia dibentangkan dalam tempoh terdekat.

“Jika tiada halangan, kita akan isytiharkan Geopark Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan kedua di negeri ini iaitu selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.

“(Upacara) pecah tanah kepada pembangunan galeri Geopark Lenggong akan dilaksanakan pada Mac ini oleh Menteri Besar Perak (Datuk Saarani Mohamad) dengan komitmen kita juga tinggi agar ia mampu diangkat menjadi Geopark Global menjelang 2025,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, ketinggian nilai sejarah dan warisan di Lenggong semestinya melayakkannya mendapat pengiktirafan untuk diangkat menjadi Geopark Global tanpa menjejaskan penarafannya sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Yang pastinya (Geopark) di Lenggong tidak akan mengganggu, sebaliknya melengkapkan pengiktirafannya sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) beberapa tahun lalu.

“Geopark ini juga agak berbeza kerana sepatutnya kawasan yang diwartakan sebagai ‘heritage’ (warisan) tidak boleh dibangunkan untuk aktiviti lain.

“Namun ia tidak menghalang untuk pembangunan ekonomi, selagi mana tidak menjejaskan penilaian tahunan yang dibuat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here